INFORMASI TEMPATAN

Maklumat Komuniti

Komuniti

Felda Kahang Barat terletak di dalam mukim Kluang, di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri Paloh dan kawasan Parlimen P-153 Semberong. Jarak tanah rancangan ini dari Bandar Kluang lebih kurang 30 kilometer atau 20 minit perjalanan. Felda Kahang Barat bersebelahan dengan Felda Kahang Timur dan pekan yang terdekat ialah Bandar T6 dan Kampong Gajah. Nama Kahang Barat diambil bersempena nama Sungai Kahang yang berdekatan.

Felda Kahang Barat mula diteroka dan dibangunkan pada tahun 1973 dan mula menempatkan peneroka pada november 1978. Rancangan ini menempatkan seramai 418 buah keluarga peneroka serta 30 keluarga lain yang terdiri daripada kakitangan Felda, kakitangan Felda Technoplant, kakitangan klinik kesihatan serta guru-guru sekolah kebangasaan dan sekolah agama Felda Kahang Barat. Daripada 418 buah keluarga peneroka di ra

Luas keseluruhan kawasan penempatan Felda Kahang Barat ialah 1,582.7 hektar dan kawasan ladang kelapa sawit pula 1,682.6 hektar, manakala lain-lain kawasan meliputi 1,800.3 hektar. Kegiatan sosioekonomi utama di sini ialah perladangan di mana jenis tanaman adalah kelapa sawit, namun terdapat juga aktiviti sosiekonomi lain seperti perniagaan, industri desa, perternakan kecil-kecilan dan pengangkutan. Majoriti penduduk yang menetap di Felda Kahang Barat adalah kaum melayu yang dianggarkan berjumlah 2918 orang penduduk.

Kawatan Kuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK)

Jika di kawasan perkampungan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) merupakan organisasi yang menjadi tulang belakang atau penghubung antara penduduk kampung dengan kerajaan. Namun, bagi kawasan tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), organisasi yang ditubuhkan ialah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR).

JKKR mempunyai fungsi tugas kerja yang sama dengan JKKK. Melalui JKKR, segala masalah yang dihadapi oleh para peneroka dapat disalurkan kepada pihak FELDA mengikut prosedur yang telah ditetapkan. JKKR Felda Kahang Barat turut berperanan dalam memupuk perpaduan antara masyarakat di sini, dengan menganjurkan pelbagai aktiviti bersama serta berusaha untuk meningkatkan ekonomi para peneroka.

Penduduk Generasi Baru

Golongan generasi baharu ataupun generasi ke-2 Felda Kahang Barat mempunyai pelbagai aktiviti mereka tersendiri. Walaupun ramai di antara mereka telah berhijrah ke kawasan bandar untuk melanjutkan pelajaran ataupun bekerja namun bagi yang masih tinggal di sini mereka aktif dalam aktiviti sukan mahupun kemasyarakatan. Selain itu, Felda juga ada menganjurkan kursus kepimpinan khas untuk generasi baharu bagi menyuntik semangat kepimpinan di dalam diri masing-masing. Antara NGO yang boleh disertai oleh generasi baharu di Felda ialah Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) untuk yang berumur 18 hingga 40 tahun dan juga Pertubuhan Kami Anak Felda Malaysia (KAF) untuk yang berumur 35 tahun ke atas.

Rekreasi & Pelancongan

Taman Rekreasi

Terdapat sebuah taman rekreasi disediakan untuk penduduk Felda Kahang Barat yang terletak di pintu masuk utama ke Felda ini. Ia berfungsi sebagai tempat beriadah dan juga sebagai taman permainan kerana terdapat kemudahan seperti buai, gelungsur serta wakaf untuk berteduh. Taman ini dibina pada tahun 2014.

Hutan Lipur Gunung Berlumut

Hutan Lipur Gunung Berlumut terletak di dalam daerah Kluang, Johor. Lokasinya terletak kira-kira 32 km dari bandar Kluang melalui jalan Kluang-Mersing, manakala jaraknya 148 km jika dari Bandar Johor Bahru. Pengunjung boleh menggunakan kenderaan sendiri atau teksi dari Bandar Kluang melalui Felda Ulu Dengar.

Kemudahan yang disediakan seperti pondok rehat, tandas, jambatan gantung, dewan terbuka, tapak perkhemahan, taman permainan kanak-kanak, gerai dan denai hutan. Dibuka dari 7.00 pagi hingga 6.00 petang. Kadar bayaran masuk adalah RM5 satu kumpulan. Untuk aktiviti perkhemahan, pendakian dan bermalam sila berhubung dengan Pejabat Hutan Daerah.

Hutan Lipur Gunung Berlumut

Tempat Makan Menarik

Anda boleh mencuba ABC buah-buahan dan makanan western murah dan sedap di kedai Pondok ABC Legend Corner Banting. Kedai ni sememangnya terkenal dan menjadi 'viral' di sekitar Kluang. Kedai dibuka setiap hari dari pukul 1.00 petang sehingga 6.00 petang. Pengunjung boleh menikmati makanan di kedai ataupun membawa pulang. Kepada yang ingin membuat tempahan bolehlah whattsapp ke nombor telefon 016-760 5801

Kedai Pondok ABC Legend Corner Banting
Kemudahan Awam

Kemudahan Asas

Kemudahan yang paling penting seperti jalan raya berturap, bekalan air dan elektrik disalurkan dengan cukup kepada seluruh penduduk. Antara kemudahan asas lain adalah masjid, sekolah, klinik dan balai raya yang dibina di dalam kawasan pusat komuniti Felda Kahang Barat. Di sini turut terdapat Pusat Ekonomi Digital (PEDi) yang menawarkan perkhidmatan fotostat, mencetak, laminate, scan dokumen dan penggunaan PC dengan internet berkelajuan tinggi. Perkhidmatan ini banyak membantu pelajar dan usahawan sekitar. Dengan kadar bayaran yang rendah dan latihan ICT diberikan secara percuma, ia turut membantu dalam membangunkan sosiekonomi penduduk.

Penduduk juga saling bekerjasama menjaga dan memelihara kemudahan yang disediakan kepada mereka. Pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) berperanan memastikan kemudahan yang terdapat di kampung ini berada di dalam keadaan baik dan akan sentiasa berusaha menambahkan lagi kemudahan infrastruktur demi kepentingan penduduk. Gotong-royong juga diadakan pada setiap minggu untuk memastikan kemudahan yang disediakan dalam keadaan bersih dan baik.

Kesihatan

Penduduk Felda Kahang Barat mendapatkan rawatan kesihatan di Klinik Desa Felda Kahang Barat yang beroperasi setiap ahad hingga khamis, bermula pada pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Kedudukan klinik ini di tengah-tengah penempatan penduduk, oleh itu mudah bagi mereka untuk datang mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

Antara perkhidmatan yang disediakan di klinik ini adalah klinik kesihatan kanak-kanak, ibu mengandung, postnatal, perancang keluarga dan turut menyediakan perkhidmatan rawatan ke rumah untuk wanita mengandung. Kadar bayaran sama seperti klinik desa lain iaitu RM1.00 untuk pesakit luar dan RM15.00 bagi warga asing. Sekiranya berlaku kes-kes kritikal, pihak klinik akan merujuk kepada Klinik Kesihatan Kahang Timur yang terletak lebih kurang 10 km dari Felda Kahang Barat.

Keselamatan

Rela

Keselamatan Felda Kahang Barat secara amnya adalah di bawah jagaan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) dan anggota Ikatan Relawan Rakyat (RELA). JKKR sentiasa memantau keadaan kampung bagi memastikan tiada aktiviti jenayah yang boleh mengancam keselamatan kampung. Pihak JKKR amat peka dengan segala perkara berkaitan dengan keselamatan kampung dan rondaan secara berkala merupakan antara cara untuk menjamin keamanan terus tercapai. Pada tahun 2023, KRT Felda Kahang Barat ditubuhkan untuk membolehkan penduduk menambah baik aktiviti kemasyarakatan, khususnya berkenaan dengan keselamatan kampung.

Polis

Segala aduan dan kegiatan jenayah akan dilaporkan terus ke Balai Polis Kg. Gajah yang merupakan balai polis terdekat dengan Felda Kahang Barat. Di samping itu, penduduk juga bekerjasama dengan pihak polis, JKKR dan RELA dalam menjaga keselamatan kampung untuk mengelakkan kegiatan jenayah daripada berlaku.No. Telfon Balai (07-7879222)

Pendidikan

Sekolah Rendah

Sekolah Kebangsaan LKTP Kahang Barat merupakan institusi pendidikan yang disediakan untuk kemudahan anak-anak penduduk Felda Kahang Barat. Sekolah ini dianggarkan mempunyai jumlah murid seramai 257 orang dan mempunyai kelas dari pra sekolah hinggalah tahun 6.

Sekolah Agama

Selain daripada Sekolah Rendah, terdapat juga sebuah sekolah agama kerajaan Johor untuk pendidikan agama bagi anak-anak penduduk di Felda Kahang Barat. Sekolah agama di sini menyediakan kelas sehingga ke peringkat darjah khas dengan 5 orang tenaga pengajar.

Sekolah ini mempunyai 2 buah bangunan yang dilengkapi dengan pejabat dan bilik guru, musolla, stor, 3 buah bilik air dan dewan. Namun atas keperihatinan pihak badan kebajikan sekolah, peruntukan diberikan untuk membina sebuah wakaf untuk pelajar berehat serta menjalankan aktiviti di luar kelas. Selain itu, usaha ke arah peningkatan dalam kurikulum dan ko-kurikulum terus dipupuk di kalangan warga guru, murid-murid, AJK Badan Kebajikan dan ibubapa penduduk Felda Kahang Barat untuk kecermerlangan pendidikan agama.

Sekolah Menengah

Di dalam kawasan Felda Kahang Barat ini tidak mempunyai sekolah menengah. Satu- satunya sekolah menengah yang berhampiran adalah Sekolah Menengah LKTP Kahang Timur yang terletak di Felda Kahang Timur. Semua anak- anak penduduk Felda Kahang Barat bersekolah di sekolah tersebut yang letaknya lebih kurang 10KM dan mengambil masa 15 minit perjalanan untuk ke sekolah. Sekolah tersebut menjalankan 1 sesi pembelajaran sahaja iaitu di sebelah pagi. Sekolah ini mengadakan kelas dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5 dengan jumlah pelajar adalah 445 orang.

Kisah Kejayaan

Nama : Norfatihah Binti Zurahim
Produk Perniagaan : Produk MAMASAB Bakery dan makanan sejuk beku
Alamat : No. 1316, Jalan Rambutan, Felda Kahang Barat.
Lokasi Perniagaan : Di rumah/Online
Facebook : https://www.facebook.com/etie.ojan

Puan Norfatihah Binti Zurahim yang berusia 33 tahun merupakan anak ke 4 daripada 7 orang adik beradik. Beliau memulakan perniagaan dengan menjadi agen produk MAMASAB Bakery untuk jualan hanya di sekitar Felda Kahang Barat dan berdekatan. Telah berniaga sejak 2 tahun yang lalu, kini beliau membuka kedai di rumah dan memulakan perniagaan sejuk beku yang dihasilkan sendiri iaitu corndog dan kuih muih. Menurut Norfatihah, beliau memasarkan produk beliau menerusi FB, IG, Whattsapp dan juga di Tiktok. Beliau memanfaatkan sepenuhnya media sosial ini untuk meluaskan pasaran dan memudahkan beliau menerima pesanan dari pelanggan. Kini, Norfatihah menyediakan pakej ‘surprise bouquet’ untuk memenuhi permintaan pelanggan dengan harga yang berpatutan dan pastinya disesuaikan dengan produk mamasab yang berkualiti.

Untuk meningkatkan pengetahuan dan mendekatkan diri dengan komuniti beliau tidak ketinggalan mengikuti program-program yang dianjurkan di PEDi Felda Kahang Barat. Beliau turut mempelajari cara untuk membuat poster produk dan di sini juga beliau mendapatkan bimbingan untuk membuat pinjaman perniagaan bagi mempelbagaikan lagi produk jualan. Beliau bercita-cita untuk mempelbagaikan lagi makanan sejuk beku yang dihasilkan oleh beliau sendiri serta meluaskan pasaran secara atas talian.


Keusahawanan

Pertanian Dan Perladangan

Kelapa sawit merupakan sumber pendapatan utama bagi penduduk Felda Kahang Barat. Ia juga menjadi teras utama sejak lebih dari 30 tahun. Selain itu, penduduk juga ada menanam tanaman kontan seperti pisang, ubi kayu, sayur-sayuran dan keladi. Terdapat penduduk yang bijak menggunakan tanah yang dimiliki dengan penanaman pokok yang cepat mengeluarkan hasil ini. Selain dapat digunakan untuk kegunaan sendiri, mereka juga dapat menjual atau menjadikan suatu produk lain sebagai punca pendapatan.

Penternakan

Terdapat penduduk di Felda Kahang Barat yang membela dan menternak ternakan seperti lembu, kambing dan juga ikan air tawar. Semua ini diusahakan di dalam kawasan ladang kelapa sawit masing-masing serta tanah terbiar milik Felda. Selain dapat menjimatkan kos penternakan mereka juga dapat menjaga kebersihan kebun dengan menggunakan rumput-rumput yang ada sebagai makanan untuk ternakan. Hasilnya juga lebih memuaskan kerana kurangnya penggunaan bahan campuran dan lebih kepada organik.

Perusahaan Dan Perniagaan

Sekiranya ingin mencari songkok yang berkualiti, cantik dan tahan lama, mungkin tempat yang patut anda kunjungi ialah Perusahaan Songkok Sinar. Terdapat beberapa jenis songkok yang dihasilkan di perusahaan ini dengan kualiti songkoknya terjamin berdasarkan jahitannya yang kemas serta kualiti material yang digunakan. Songkok Sinar sememangnya telah terkenal di negeri Johor dan mendapat sambutan yang sangat baik. Sebenarnya, banyak lagi perusahaan yang semakin dikenali di Felda Kahang Barat seperti pelbagai jenis kerepek, pastri, kuih muih sejuk beku dan pelbagai lagi.